Tuesday 19 June 2018

Puasa Sunat Syawal Atau Utamakan Puasa Qadha Dahulu

MENGUTAMAKAN Puasa Qadha’ Ramadhan 
      atau Puasa Sunat 6 hari di bulan Syawal?




Puasa Qadha Ramadhan merupakan suatu kewajipan, manakala puasa enam hari Syawal hanya puasa sunat, namun kini sering menjadi persoalan apakah boleh jika kita puasa sunat enam hari di bulan Syawal dahulu, kemudian baru kita qadha’ puasa Ramadhan ataupun kita perlu menghabiskan dahulu Qadha puasa Ramadhan kita kemudian baru puasa enam hari bulan Syawal?

Secara umumnya terdapat dua pandangan dan pendapat berkaitan manakah yang lebih diutamakan sama ada menqadha puasa dahulu atau puasa sunat Syawal.

i. Pendapat yang pertama membolehkan mendahulukan puasa sunat Syawal dahulu, kemudian boleh menggantikan puasa Ramadhan kemudian. Pendapat ini merujuk kepada Hadis dari Aisyah;


"كأن يكون علي الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان"

Maksudnya: Kewajipan ke atas ku untuk puasa dari puasa Ramadhan, dan aku tidak menggantikannya sehingga datang bulan Sya’ban. (Riwayat Muslim)

ii. Berdasarkan hadis tersebut, Ulama berpendapat bahawa, sebagai seorang sahabat dan isteri Rasulullah sudah tentu Aisyah tidak meninggalkan puasa-puasa sunat, ini termasuklah puasa enam hari Syawal. Tindakan Aisyah menggantikan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan bahawa dibolehkan berpuasa enam hari di bulan Syawal walaupun belum menqadha’ puasa Ramadhan.

Pendapat kedua pula, menyatakan lebih utama dan perlu mendahulukan puasa ganti terlebih dahulu sebelum berpuasa enam hari Syawal. Ini kerana dalam hadis yang menyebut tentang puasa di bulan Syawal, Rasulullah menyebut dalam hadis tersebut من صام yang memberi maksud sesiapa yang telah berpuasa, Rasulullah menggunakan perkataan puasa yang merujuk kepada feil madhi iaitu perbuatan yang telah berlaku, ini boleh membawa maksud, sesiapa yang telah melengkapkan puasa Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan syawal, akan mendapat ganjaran seperti puasa setahun.

Keutamaan menqadhakan dahulu puasa Ramadhan boleh dilihat melalui sebuah hadis qudsi;

"وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه"

Maksudnya: dan tidaklah hampir kepada ku seorang hamba ku dengan apa jua pun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu / wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya. (Riwayat Bukhari)

Jika diteliti pendapat yang kedua adalah lebih kuat, dan ia juga bertepatan dengan hadis puasa sunat Syawal itu sendiri, selain dari itu, ia boleh dikiaskan seperti keutamaan membayar hutang terlebih dahulu daripada memberi sedekah.

Akan tetapi pendapat ini hanya dari sudut keutamaan sahaja, sekiranya dari sudut perlaksanaan ia mungkin berbeza menurut keadaan individu tertentu. Jika diteliti hadis berkaitan Aisyah menggantikan puasanya pada bulan Sya’ban adalah kerana berkemungkinan beliau perlu menggantikan puasa Ramadhannya dengan jumlah hari yang banyak, sekiranya seorang wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang agak banyak, akan menjadi kesusahan kepadanya untuk menghabiskan kesemua puasa gantinya pada bulan Syawal, kemudian menyambung pula lagi enam hari.

Apabila dikira secara rambang, jika menurut mazhab Syafie, haid wanita boleh berlangsung sehingga 15 hari, dan jika wanita haid utamakan dahulu puasa gantinya dalam bulan Syawal maka dalam bulan Syawal wanita haid perlu berpuasa sehingga 21 hari. Seperti yang diketahui bulan Syawal disunatkan kepada umat Islam untuk menziarahi keluarga dan rakan-rakan, dan ini pasti akan memberi kesusahan kepada para wanita.

Jadi sekiranya wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang banyak, maka dibolehkan untuk berpuasa seperti Aisyah, iaitu mengutamakan puasa enam hari Syawal, kemudian menggantikan puasa Ramadhan pada hari-hari yang lain.

Kepada golongan yang lain, seperti orang yang bermusafir dan sakit, perlu menggantikan dahulu puasa Ramadhannya, kemudian baru diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

sumber




No comments:

Post a Comment

Popular Posts