Wednesday 23 September 2015

Catatan Perjalanan Ibadah Haji Seorang Duyufurrahman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Menjelangnya saat-saat bakal haji ke arafah, akak mengimbau kembali ketika akak dijemput sebagai Duyufurrahman pada tahun 2011.



Pada mulanya, memang akak dah di confirm kan oleh Tabung Haji yang akak memang tak layak untuk menunaikan haji pada tahun itu dek kerana akak mendaftar haji baru 2 tahun (ketika mendaftar, akak diberi giliran haji pada tahun 2026! ). Tak terkata waktu itu.. fikiran menerawang.. sihat lagi ke aku waktu itu.. mampu lagi ke aku berjalan sorang?

Oleh kerana itu, akak mengambil keputusan untuk tunaikan haji melalui pakej Andalusia. Akak telah pun diberitahu oleh pihak syarikat Andalusia supaya tidak terlalu mengharap kerana syarat mereka, mestilah telah mendaftar dengan tabung haji sekurang-kurangnya 4 tahun, akan dipertimbangkan. Sebenarnya akak buka akaun di tabung haji sudah lama, tetapi tidak tahu langsung tentang kena mendaftar haji itu lain. Akak selama tu ingatkan, bila kita dah buka akaun di tabung haji, maka dengan otomatik lah di kira telah mendaftar haji.

Mengimbas kembali... kali pertama menunaikan umrah pada tahun 2009. Sekembalinya akak ke tanah air, akak terus berhijab walau pun terdapat sedikit halangan pada awalnya, namun akak tidak berpaling lagi. Hati sentiasa merindui Baitullah dan sentiasa berdoa agar dijadikan tetamunya lagi.

Alhamdulillah, tahun berikutnya... 2010, akak berkesempatan sekali lagi untuk menunaikan umrah. Betapa bahagia dan tenang rasanya... dapat menatap kembali Baitullah pada setiap waktu solat di sana.

Setelah kembali dari umrah kedua tersebut, akak berazam sangat untuk dapat menunaikan haji pula pada tahun depannya. Setelah tamat musim haji tahun 2010, akak terus ke syarikat Andalusia untuk mendaftar haji bagi tahun 2011. Walaupun agak sedikit kecewa dengan maklumat yang mereka berikan iaitu keutamaan akan diberi kepada mereka yang telah mendaftar haji 7 tahun ke atas sedangkan akak baru 2 tahun mendaftar, akak kuatkan semangat juga untuk mencuba sehabis daya yang mampu. 

Turun naik bangunan tabung haji dah beberapa kali kerana disuruh oleh pihak Andalusia untuk merayu. Namun rayuan akak tetap ditolak mentah-mentah. Berbagai ragam manusia yang akak perhatikan di situ, ada yang merayu, menangis, meratap di hadapan pegawai tabung haji...namun.. jika kita tak ada kuasa, tak ada orang dalam.. jangan harap lah nak dapat pergi haji.

Dalam pada itu pun, akak lengkapkan juga segala kursus haji selama 3 bulan dan buat serba sedikit persediaan walau pun bayang nya pun belum nampak samada akak dapat pergi atau tidak.

Semasa bakal-bakal haji mula meninggalkan tanahair, akak sentiasa bersedih, gundah gulana namun akak kuatkan semangat dan tidak berputus asa sentiasa berdoa agar akak dijadikan tetamunya waktu itu. 

Tinggal lebih kurang 3 minggu saja lagi untuk penerbangan terakhir ke tanah suci, hati akak semakin berdebar... waktu itu pihak Andalusia memberitahu bahawa jika ada pembatalan, maka akak akan dimasukkan dalam senarai. Akak pun buatlah sembahyang hajat dan solat taubat banyak-banyak, sentiasa merintih dan berkata-kata pada Maha Pencipta.

Syukur Alhamdulillah... lebih kurang 10 hari sebelum penerbangan terakhir, akak mendapat panggilan telefon dari pihak Andalusia mengatakan ada seorang yang telah membatalkan perjalanan haji nya. Airmata berguguran.. akak bersujud syukur waktu itu... Ya Allah, besar sungguh kuasa solat hajat dan taubat Mu...

Oleh kerana penerbangan akak adalah penerbangan yang kedua akhir, maka ia terus ke Mekah. Akak memilih untuk membuat Haji Ifrad, terus berada dalam ihram selama lebih kurang 10 hari...banyak dugaannya..






Alhamdulillah.. selamat sampai ke airport Jeddah... 
semua jemaah berehat sambil menunggu bas untuk di pick-up bagi meneruskan perjalanan ke Mekah mukaramah. Perjalanan ibadah haji akak selama 46 hari pun bermula...







hotel akak di mekah 'Al-Hijaz Palace' yang jaraknya cuma lebih kurang 50 m ke masjidil haram, kini tinggal kenangan hotel ini kerana ia telah dirobohkan sebaik saja tamat musim haji pada tahun itu.


bilik berkongsi 4 orang...


pemandangan dari tingkap bilik...


pintu masuk utama masjidil haram.. pintu Abdul aziz..









yang berniqab itu ialah pekerja di masjidil haram




Melawat ke Jabal Rahmah...



perkuburan Baqi' yang hanya boleh dipandang dari jauh saja oleh jemaah wanita...










Sebelum berangkat ke padang arafah, akak berhajat untuk membuat korban seekor unta dan membayar terus harganya sebanyak RM500. 


Ustaz Yusof memberi kuliah di dewan makan...


Ustaz Dato' Daud memberi penerangan untuk ke Padang Arafah dan Mina...


(gambar dari google)



Bas tiba untuk ke padang arafah... Labaikallahummalabaik..

Tiba di padang Arafah... semua keletihan kerana berjam-jam duduk dalam bas, perjalanan sangat jem sesak. Mula-mula sampai, tengok khemah tu kosong aje atas batu pasir. Kami harus ke 'stor barang' untuk mengangkut tilam nipis dan bantal sendiri.





dalam khemah memang tak ada lampu.. cuma ada di kawasan luar khemah saja


Toilet di padang Arafah...
seksa jugak sebab air tak ada di dalam... 
kena berebut tadah di luar dengan airnya yang keluar sikit je.. 
banyak menguji kesabaran di situ


Arafah adalah gambaran Padang Mashyar di bumi. Ia terletak 21.9 km ketimur Makkah. Di antara Makkah dan Arafah terletak Mina dan Mudzlifah. Berwukuf di Arafah akan mengingat kembali peristiwa di mana Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. 

Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali! Di mana mereka bertemu? Tidak lain dari Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. Maka, Padang Arafah ini menjadi tempat kita menyesali segala dosa yang pernah kita lakukan dan di situlah kita boleh memohon pengampunan daripada Allah mudah-mudahan  permintaan kita diterima. (sumber)



jemaah lelaki atau yang berpasangan berkesempatan untuk naik ke Jabal Rahmah, manakala jemaah wanita yang tiada pasangan, tidak digalakkan naik ke situ. Cukup hanya berdoa di luar khemah sahaja, afdal di luar khemah kerana ianya tidak ditutupi bumbung, maka doa kita akan diangkat naik terus.

ketika menunggu matahari terbenam... saat yang paling afdal berdoa..
Hati sebak tika itu, terasa bagai sudah berada di alam yang berlainan
terasa diri begitu kerdil, begitu hina di sisi Mu Ya Allah...



Selepas terbenamnya matahari, maka kami pun bersiap untuk ke Muzdalifah pula...

Mabit di Muzdalifah.. untuk mengutip batu..



Perjalanan seterusnya ialah ke Mina sejauh 7 km untuk ibadah melontar nanti yang akan bermula di Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijah, iaitu bersamaan Hari Nahar atau dipanggil juga Hari Raya Aidiladha.

Jemaah haji akan terus berada dan bermalam di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijah (hari-hari Tasyriq) untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah.







Beginilah keadaan di dalam khemah di Mina...begitu padat sekali. Kami mula-mula diberitahu bahawa lebar kawasan setiap seorang hanyalah 2 kaki. Macamana kami yang berbadan besar ni? sesak dibuatnya.. lalu dijawab oleh petugas Andalusia.. itu kira ukuran kubur..bayangkan seluas itu je lah nanti bila dalam kubur. Lalu kami terdiam...

yang paling mencabar ialah bila nak gunakan toilet. Beratur bukan main panjang lagi dan setiap orang yang masuk hanya boleh untuk melepaskan hajat saja. Tak boleh mandi sebab ramai yang menunggu. Bayangkan kalau dah tak tahan nak ter.... kesian tengok makcik-makcik yang dah tua tu, tak tahan sangat.. lalu selamba je kencing kat tepi tempat kami beratur... apa nak kata.. ada jugak yang bergaduh kat situ bila ada yang degil siap mandi, buatkan orang lain tunggu lama.

Selama 3 hari berada di Mina, akak akan mandi selepas balik dari melontar.. kira-kira jam 3 pagi sebab waktu itu tak ada orang..


ini lah teman sebilikku di Mekah, alhamdulillah dapat juga bersama di khemah Mina ini..


makan..alhamdulillah.. cuma nasi kering, tidak berkuah...


mencuci batu yang dikutip di Muzdalifah


 Tibalah waktu untuk pergi melontar... 
berjalan kaki lebih kurang 3km pergi dan 3km balik.

Tiga Jamrah:
Al-Jamrah bermaksud tempat melontar batu di Mina. 
Terdapat tiga tempat melontar:
Al-Jamratul Sughra (kecil) / Ula (pertama)
Al-Jamratul Wusta (sederhana) / Thani (kedua)
Al-Jamratul Kubra (besar) / Uqba (terakhir).


Melontar

Melontar setiap ketiga-tiga jamrah itu dengan tujuh biji batu.
Waktu bagi melontar ketiga-tiga jamrah ialah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu melontar bermula selepas terbit fajar pada 11 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
Waktu yang paling afdhal ialah selepas tergelincirnya matahari 11,12 dan 13 Zulhijjah.


Syarat-Syarat Melontar:

  • Niat melontar jamrah tidak tersasar daripada tujuan sebenar.
  • Hendaklah melontar dengan 7 biji anak batu pada tiap-tiap jamrah.
  • Hendaklah melontar dengan menggunakan batu atau jenis-jenisnya.
  • Hendaklah batu lontaran masuk ke dalam takungan jamrah dengan yakin.
  • Hendaklah melontar dengan gaya merejam, bukannya seperti meletakkan batu, mencampak ataupun membuang.
  • Hendaklah melontar dengan tangan. Jika tidak berkuasa atau berdaya, maka bolehlah digunakan tangan kiri, kaki ataupun mulut.
  • Hendaklah melontar dengan tertib turutan, dimulai dari Jamratul Ula kemudian Jamratul Wusta dan diakhiri di Jamratul Aqabah.
  • Tertib hari melontar bermakna tidak sah melontar hari ke 11, melainkan setelah melontar Jamratul Aqabah dan tidak sah melontar hari ke 12 melainkan sudah melontar bagi hari yang ke 11. Begitu juga tidak sah melontar untuk hari ke 13 kecuali setelah melontar hari ke 12.
  • Dilarang melontar untuk orang lain kecuali setelah melontar ketiga-tiga jamrah untuk dirinya sendiri.









hari pertama melontar di jamratul ula...


hari kedua...melontar jamrah wusta...




akak memang sentiasa ikut belakang petugas andalusia ni, bukan apa... takut sesat.. maklum..berjuta jemaah...







hari ketiga...melontar jamrah aqabah..


memang dinasihatkan untuk memakai penutup muka/mask sebab terlampau berjerebu...


 Alhamdulillah... ketiga-tiga hari melontar kami dipermudahkan, sekejap saja. Ketika kami tiba, memang tak ramai orang lagi, boleh melontar di depan sekali.




balik dari melontar, sempat meninjau barangan yang di jual di tepi kaki lima jalan ke khemah...




 balik semula ke Mekah untuk tawaf haji...






 kalau pergi lambat ke masjid...terpaksa naik ke bumbung.. 
tapi seronok juga sebab nampak dekat dengan jam besar cuma..terpaksa bercampur dengan lelaki. Masa nak solat elok je perempuan sebelah akak, tiba-tiba di pertengahan solat, masuk pulak seorang lelaki... sabar je lah..




mesin untuk membersihkan lantai masjidil haram


 tempat paip air zam-zam di luar masjid



Tibalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal
tawaf wida'

airmata berguguran tika ini sambil memohon agar mendapat haji mabrur...
Ya Allah, sesungguhnya aku amat bersyukur dengan kurniaan kasih sayangMu.






Perjalanan diteruskan ke Madinah al-munawarah...
(berada di sana selama 8 hari)

Alhamdulillah, ku panjatkan rasa syukur yang teramat sangat kerana mengizinkanku menjadi tetamu Mu selama 44 hari Ya Allah.. Sesungguhnya, Perlaksanaan ibadah Haji adalah Anugerah dari Allah swt.

Tips Menjelang Hari Arafah

Pengertian Ibadah Qurban



Koleksi al-Quran yang dibawa pulang..

...yang kecil atas rehal itu adalah hadiah kepada jemaah haji, akak gunakan yang itu ketika mengaji di rumah untuk mengambil berkat dan sentiasa mengingatkan masa buat haji.

...yang sederhana tu akak beli di Mekah dan gunakan sepanjang berada di Mekah dan Madinah

... yang besar tu pula, akak beli ketika melawat ke kilang buat al-Quran, prepare untuk waktu lebih tua lagi..dah tak nampak sangat nanti..



 






No comments:

Post a Comment

Popular Posts