Wednesday 13 July 2016

HUKUM PUASA ENAM

Assalamualaikum di pagi 8 Syawal 1437. 
Maaf kerana terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin buat semua pembaca blog ini samada yang mengenali saya personally atau pun cuma di alam maya saja. Setelah seminggu kita beraya, marilah kita sama-sama menunaikan puasa enam pula bagi mendapatkan pahala berpuasa setahun.


HUKUM PUASA ENAM

SUNAT dan digalakkan kita bersegera melaksanakan ‘Puasa Enam Syawal’.





FADILAT PUASA ENAM 

Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan. 

Dalilnya:
- Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)

- Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Selain itu, terdapat fadilat lain bagi Puasa Enam Syawal. Ia adalah seperti berikut: 

1. Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan. 

2. Mendekatkan diri kepada Allah SWT setelah Ramadhan.

3. Puasa Syawal sebagai tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan. 

4. Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda. 

Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda: “Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti dia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.” 
(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)


KAEDAH PUASA ENAM

Puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada hari-hari sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli. 

1. Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai Aidilfitri kedua 
(2 Syawal) hingga 7 Syawal.

2. Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.


HIKMAH PUASA ENAM

1- Mendidik kesabaran insan daripada godaan makanan yang melimpah ruah menerusi rumah terbuka. 

2- Memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. 

3- Allah SWT sebenarnya ingin menguji hamba-Nya apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadhan walaupun hanya enam hari. 

4- Penyempurna daripada kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat, perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat. 

5- Memberi peluang kepada wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, menggantikan puasanya di samping mendapat pahala puasa sunat. 

6- Mengelakkan budaya suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga hampir Ramadan berikutnya agar bersegera kembali melaksanakan puasa selepas Aidilfitri dengan rasa ringan dan gembira.


GABUNG NIAT QADA’ DAN PUASA ENAM

Harus menggabungkan dua puasa tersebut. Walau bagaimanapun, para ulama mempunyai beberapa pandangan dlm isu ini seperti berikut;

1. Berpuasa qada’ terlebih dahulu kerana ia merupakan puasa wajib ke atas semua.

2. Berpuasa sunat enam Syawal terlebih dahulu kerana tempohnya sangat terhad. Kemudian susulilah dgn puasa qada' yg tempoh menggantinya agak panjang berbanding Syawal.

3. Berpuasa qada’ Ramadhan dan sunat Syawal sekali gus. Namun, org itu mestilah mendahulukan niat puasa qada’ terlebih dahulu dan kemudian disusuli dengan niat puasa enam.

Namun, ingin ditekankan bahawa kebanyakan ulama berpendapat jika seseorang itu melakukan kedua-dua puasa secara berasingan, maka ia adalah lebih mulia berbanding menggabungkannya dalam satu niat.

[sumber: Ustaz Dr. Mohd Izhar Ariff]




No comments:

Post a Comment

Popular Posts