Showing posts with label bulan syawal. Show all posts
Showing posts with label bulan syawal. Show all posts

Tuesday, 19 June 2018

Puasa Sunat Syawal Atau Utamakan Puasa Qadha Dahulu

MENGUTAMAKAN Puasa Qadha’ Ramadhan 
      atau Puasa Sunat 6 hari di bulan Syawal?




Puasa Qadha Ramadhan merupakan suatu kewajipan, manakala puasa enam hari Syawal hanya puasa sunat, namun kini sering menjadi persoalan apakah boleh jika kita puasa sunat enam hari di bulan Syawal dahulu, kemudian baru kita qadha’ puasa Ramadhan ataupun kita perlu menghabiskan dahulu Qadha puasa Ramadhan kita kemudian baru puasa enam hari bulan Syawal?

Secara umumnya terdapat dua pandangan dan pendapat berkaitan manakah yang lebih diutamakan sama ada menqadha puasa dahulu atau puasa sunat Syawal.

i. Pendapat yang pertama membolehkan mendahulukan puasa sunat Syawal dahulu, kemudian boleh menggantikan puasa Ramadhan kemudian. Pendapat ini merujuk kepada Hadis dari Aisyah;


"كأن يكون علي الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان"

Maksudnya: Kewajipan ke atas ku untuk puasa dari puasa Ramadhan, dan aku tidak menggantikannya sehingga datang bulan Sya’ban. (Riwayat Muslim)

ii. Berdasarkan hadis tersebut, Ulama berpendapat bahawa, sebagai seorang sahabat dan isteri Rasulullah sudah tentu Aisyah tidak meninggalkan puasa-puasa sunat, ini termasuklah puasa enam hari Syawal. Tindakan Aisyah menggantikan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan bahawa dibolehkan berpuasa enam hari di bulan Syawal walaupun belum menqadha’ puasa Ramadhan.

Pendapat kedua pula, menyatakan lebih utama dan perlu mendahulukan puasa ganti terlebih dahulu sebelum berpuasa enam hari Syawal. Ini kerana dalam hadis yang menyebut tentang puasa di bulan Syawal, Rasulullah menyebut dalam hadis tersebut من صام yang memberi maksud sesiapa yang telah berpuasa, Rasulullah menggunakan perkataan puasa yang merujuk kepada feil madhi iaitu perbuatan yang telah berlaku, ini boleh membawa maksud, sesiapa yang telah melengkapkan puasa Ramadhan, kemudian menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan syawal, akan mendapat ganjaran seperti puasa setahun.

Keutamaan menqadhakan dahulu puasa Ramadhan boleh dilihat melalui sebuah hadis qudsi;

"وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه"

Maksudnya: dan tidaklah hampir kepada ku seorang hamba ku dengan apa jua pun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu / wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya. (Riwayat Bukhari)

Jika diteliti pendapat yang kedua adalah lebih kuat, dan ia juga bertepatan dengan hadis puasa sunat Syawal itu sendiri, selain dari itu, ia boleh dikiaskan seperti keutamaan membayar hutang terlebih dahulu daripada memberi sedekah.

Akan tetapi pendapat ini hanya dari sudut keutamaan sahaja, sekiranya dari sudut perlaksanaan ia mungkin berbeza menurut keadaan individu tertentu. Jika diteliti hadis berkaitan Aisyah menggantikan puasanya pada bulan Sya’ban adalah kerana berkemungkinan beliau perlu menggantikan puasa Ramadhannya dengan jumlah hari yang banyak, sekiranya seorang wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang agak banyak, akan menjadi kesusahan kepadanya untuk menghabiskan kesemua puasa gantinya pada bulan Syawal, kemudian menyambung pula lagi enam hari.

Apabila dikira secara rambang, jika menurut mazhab Syafie, haid wanita boleh berlangsung sehingga 15 hari, dan jika wanita haid utamakan dahulu puasa gantinya dalam bulan Syawal maka dalam bulan Syawal wanita haid perlu berpuasa sehingga 21 hari. Seperti yang diketahui bulan Syawal disunatkan kepada umat Islam untuk menziarahi keluarga dan rakan-rakan, dan ini pasti akan memberi kesusahan kepada para wanita.

Jadi sekiranya wanita yang datang haid pada bulan Ramadhan dengan jumlah hari yang banyak, maka dibolehkan untuk berpuasa seperti Aisyah, iaitu mengutamakan puasa enam hari Syawal, kemudian menggantikan puasa Ramadhan pada hari-hari yang lain.

Kepada golongan yang lain, seperti orang yang bermusafir dan sakit, perlu menggantikan dahulu puasa Ramadhannya, kemudian baru diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

sumber




Thursday, 23 July 2015

Puasa Sunat Syawal Bagai Puasa Setahun Penuh

Dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, makan juadah-juadah istimewa hari raya, ketupat, rendang, lemang dan lain-lain lagi, dipenuhi dengan undangan-undangan open house lagi, jangan pula lupa untuk berpuasa sunat Syawal nanti ye.. teruskan beramal juga. Dengan kita berpuasa Syawal 6 hari bagaikan kita telah berpuasa setahun penuh.  




Niat Puasa Sunat Syawal...




Boleh ke gabungkan puasa qadha dan puasa sunat syawal?


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman mengupas Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi Salla Allahu 'Alaihi wasallam dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan banyak lagi rekaan ibadah secara gabungan yang baru kelak termasuklah gabungan Haji beserta Umrah sekaligus dengan satu niat. 

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :


كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW


من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

Hujjah ulama yang mengharuskannya

Datang dari hadith:-

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini adalah, terdapat IJTIHAD ULAMA yang membolehkan gabung dan wujud juga yang tidak membolehkan, justeru persoalan UTAMA yang tinggal kini boleh BOLEH ATAU TIDAK MENGGABUNGKAN tetapi lebih kepada manakah kaedah yang terbaik untuk DIRI. Jika ditanya kepada saya, jawabnya adalah SANGAT ELOK tidak digabungkan JIKA MAMPU DAN BERKINGINAN GANJARAN TERBESAR, justeru elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai RUKHSAH  "keringanan" bagi mereka yang mempunyai KESUKARAN kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

sumber: www.zaharuddin.net



Popular Posts